Tuesday, June 1, 2010

KEADILAN Seru Masyarakat Antarabangsa Kutuk Kekejaman Rejim Zionis Israel


PETALING JAYA 1 Jun - KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan komando rejim zionis Israel yang menyerang sebuah daripada enam buah kapal yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza.

Pengerusi Biro Antarabangsa Mustaffa Kamil Ayub berkata tindakan kejam komando rejim zionis itu telah menyebabkan ramai aktivis yang tidak bersalah terbunuh.

"Kapal tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan dan masih berada di dalam perairan antarabangsa dan pihak berkuasa Israel tidak mempunyai hak untuk menaiki kapal tersebut.

"Alasan bahawa aktivis di dalam kapal tersebut telah menyerang komando Israel itu dahulu boleh dianggap menghina kerana mereka yang sebenarnya yang telah merempuh naik kapal itu.

Tambah Mustaffa, insiden ini merupakan satu lagi contoh bahawa Israel melakukan jenayah kejam ini di mana tindakan pihak berkuasa Israel itu sendiri yang sebenarnya mengancam kedaulatan mereka sendiri.

"Kita kesal dengan kegagalan beberapa negara mengutuk tindakan jahat rejim zionis Israel ini, termasuk Amerika Syarikat yang hanya meluahkan "kekesalan yang amat sangat" sementara United Kingdom, Kanada dan Australia pula membisu.

"Kerajaan negara-negara tersebut gagal menyampaikan isyarat perasaan majoriti rakyat mereka," ujar beliau.

Justeru itu, Mustaffa juga menyeru supaya komuniti antarabangsa mendesak Israel menghormati hak asasi manusia seperti yang terkandung dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan dengan Palestin.

http://suarakeadilan.com

No comments:

Post a Comment