Saturday, June 5, 2010

Dakwaan Biden Flotila Bawa Senjata Karut..

KUALA LUMPUR 5 Jun - Dakwaan Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mengatakan konvoi enam kapal bantuan kemanusiaan (Freedom Flotilla) kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza membawa bekalan senjata tidak berasas sama sekali.

Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub berkata kapal Mavi Marmara yang dulu diserang komando rejim Zionis-Israel yang menyebabkan sembilan sukarelawan dan berpuluh lagi cedera dalam serangan itu.

"Misi bantuan kemanusiaan itu adalah gabungan warga 40 buah negara dunia dan konvoi tersebut juga membawa ahli parlimen United Kingdom serta pemenang Nobel.

"Serangan itu menunjukkan rejim Zionis itu mengisytiharkan perang kepada seluruh warga dunia.

"Sehingga ke hari ini, rejim Zionis itu telah melanggar lebih 80 resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maksudnya ia langsung tidak menghormati undang-undang dunia, " tegas beliau.

Biden, ketika ditemubual dalam rancangan "Charlie Rose" oleh stesen penyiaran American Public Broadcasting Service Rabu lalu mempertahankan tindakan Israel yang menahan kapal menuju ke Gaza bagi mencegah penyeludupan senjata.

Beliau berpandangan tidak ada keperluan untuk berkeras supaya bekalan itu disampaikan terus kepada penduduk Semenanjung Gaza.

Biden kemudiannya memberi alasan kononnya Israel bimbang dengan isi kandungan yang dibawa kapal tesebut.

Ditanya mengenai pendirian KEADILAN, Mustaffa berkata Pakatan Rakyat melalui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk diserahkan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

"Pegawai tersebut berjanji akan menyerahkan surat tersebut minggu depan kepada Obama.

"Dalam surat itu, Pakatan Rakyat meminta agar beliau mengambil kesempatan untuk memperbetulkan keadaan itu," ujar Mustaffa lagi.

Umno-BN Perlekeh Pergorbanan Sukarelawan Malaysia, Turki Anggap Wira

June 5, 2010
KUALA LUMPUR 5 Jun - Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN , Mustaffa Kamil Ayub kesal dengan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang tidak mengiktiraf pengorbanan sukarelawan yang terselamat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza Isnin lepas.

"Faktor alasan kewangan tidak dapat diterima sama sekali sedangkan komitmen kerajaan Turki lebih tinggi berbanding negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia.

"Saya berasakan ini berkemungkinan mempunyai hubungkait dengan kontrak yang dimeterai antara kerajaan Umno-BN dan Apco.

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya seperti terikat dan mengikut telunjuk untuk mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Menurut Mustaffa lagi, ini mungkin mempunyai kaitan dengan kezaliman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan Altantunya.

"Kita juga sangsi dengan respon Najib yang begitu lambat bertindak berhubung serangan komando rejim zionis Israel terhadap kapal Mavi Marmarra yang menyebabkan 9 aktivis dan berpuluh lagi cedera.

"Kontrak yang dimeterai Najib dengan syarikat Apco Worldwide menjadi satu sebab kerajaan Umno-BNl bersikap sederhana terhadap sukarelawan Malaysia yang terselamat," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Sebelum itu, media melaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata Angkatan Tentera Malaysia tidak akan mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang 12 sukarelawan dan media Malaysia yang dibebaskan dari tahanan tentera Israel.

Ahmad Zahid memberi alasan penerbangan itu akan membabitkan kos yang tinggi dan setakat ini tiada permintaan daripada kerajaan Umno-BN untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera.

http://kerabubersuara.blogspot.com

Tuesday, June 1, 2010

KEADILAN Seru Masyarakat Antarabangsa Kutuk Kekejaman Rejim Zionis Israel


PETALING JAYA 1 Jun - KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan komando rejim zionis Israel yang menyerang sebuah daripada enam buah kapal yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza.

Pengerusi Biro Antarabangsa Mustaffa Kamil Ayub berkata tindakan kejam komando rejim zionis itu telah menyebabkan ramai aktivis yang tidak bersalah terbunuh.

"Kapal tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan dan masih berada di dalam perairan antarabangsa dan pihak berkuasa Israel tidak mempunyai hak untuk menaiki kapal tersebut.

"Alasan bahawa aktivis di dalam kapal tersebut telah menyerang komando Israel itu dahulu boleh dianggap menghina kerana mereka yang sebenarnya yang telah merempuh naik kapal itu.

Tambah Mustaffa, insiden ini merupakan satu lagi contoh bahawa Israel melakukan jenayah kejam ini di mana tindakan pihak berkuasa Israel itu sendiri yang sebenarnya mengancam kedaulatan mereka sendiri.

"Kita kesal dengan kegagalan beberapa negara mengutuk tindakan jahat rejim zionis Israel ini, termasuk Amerika Syarikat yang hanya meluahkan "kekesalan yang amat sangat" sementara United Kingdom, Kanada dan Australia pula membisu.

"Kerajaan negara-negara tersebut gagal menyampaikan isyarat perasaan majoriti rakyat mereka," ujar beliau.

Justeru itu, Mustaffa juga menyeru supaya komuniti antarabangsa mendesak Israel menghormati hak asasi manusia seperti yang terkandung dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan dengan Palestin.

http://suarakeadilan.com